RANAU: Pewartaan tapak sebagai milik masjid atau surau diperlukan sebelum sebarang permohonan pembinaan baharu, pembaikan atau naik taraf ‘Rumah Allah” dikemukakan kepada kerajaan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia penting bagi mengelak sebarang masalah di masa depan khususnya membabitkan tuntutan pewaris tanah.
“Kita enggan berlaku masalah di masa depan walaupun tanah itu sudah diwakafkan namun tanpa ada pewartaan sah sebagai tapak masjid atau surau, waris masih boleh menuntut.
“Justeru, perlu dipastikan status tapak masjid atau surau diwartakan terlebih dahulu sebelum memohon sebarang bantuan kepada agensi kerajaan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Masjid As-Syarif dan Asnaf di Kampung Timbua, di sini, Isnin.
Terdahulu, sebanyak RM20,000 bantuan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) disampaikan Ruslan untuk masjid itu manakala RM7,000 untuk bantuan zakat kepada 35 asnaf di kawasan tersebut.
Ruslan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa prihatin dengan kepentingan rakyat termasuk usaha memperkasa islamiah di Sabah.
Katanya, di bawah agenda ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ), pemerkasaan masjid dan surau demi kepentingan ummah menjadi keutamaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
“Kita akan bantu masjid dan surau ini namun seperti saya katakan tadi, pastikan status tapak telah diwartakan bagi mempermudahkan usaha murni ini,” katanya.
Pada majlis itu, Ruslan meminta jawatan kuasa Masjid As-Syarif mengemukakan surat permohonan menaik taraf masjid dan pembinaan sebuah dewan terbuka di tapak sama.
Beliau akan turut membantu merealisasikan impian jemaah Kariah Kampung Timbua supaya masjid itu dapat diimarahkan melalui pembinaan insfrastruktur baharu tersebut.