Kota Kinabalu: Seramai 469 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan FSSA Semester 1, sesi 2023/2024 baru-baru ini.
Menurut Dekan FSSA Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau, ia bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.
“Majlis pengiktirafan ini membuktikan kecemerlangan pelajar adalah refleksi kepada semangat dan usaha berterusan pelajar serta sokongan yang padu daripada ibu bapa, keluarga dan pensyarah.
“Di samping itu, ia juga bagi membuktikan bahawa UMS merupakan sebuah institusi yang mampu untuk melahirkan graduan cemerlang,” katanya.
Tambahnya, pencapaian cemerlang adalah titik mula dalam mempersiapkan diri pelajar untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
“Saya menyeru semua pelajar agar menanam mentaliti sebagai pelajar seumur hidup agar dapat beradaptasi dengan baik mengikut keperluan masa hadapan,” katanya.
Daripada jumlah itu, 29 pelajar mendapat markah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FSSA Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSSA Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien, Ketua Pentadbiran FSSA Aidah Noordin dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan FSSA 2024 Dr. Rubena Yusof.