RANAU: Pengukuran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) akan dilaksanakan di Zon Turuntungon membabitkan lapan kampung, kata Timbalan Ketua Menteri II yang juga Adun Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketika menghadiri sesi taklimat yang diadakan berhubung pelaksanaan projek itu di Balai Raya Kg Pinawantai, beliau berkata satu jawatankuasa khas Pantas akan dibentuk di setiap kampung.
Taklimat itu dihadiri 800 penduduk dari lapan kampung tersebut, termasuk ketua kampung, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk serta ahli Unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat (UPPM) Kundasang.
Kampung terbabit ialah Kg Tarawas, Kg Pahu Pinawantai, Kg Pinawantai, Kg Turuntongon, Kg Monggis, Kg Togop Laut, Kg Togop Darat dan Kg Daramakon.
Semasa sesi taklimat itu, hadirin diberi pencerahan oleh pihak Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Jaidi Gulis, dan Penolong Pengarah Juruukur Pantai Barat (Utara), Quzaimi Hassan.
Dr Joachim berkata, program Pantas merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah permohonan tanah penduduk di kawasan ini (Zon Turuntungon) kerana banyak permohonan tanah bertindih menyebabkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sukar memproses permohonan mereka.
“Untuk makluman, pelaksanaan Pantas telah pun dilaksanakan di empat zon di Ranau.
“Setiap kampung perlu mempunyai wakil bersama ketua kampung bagi memudahkan proses permohonan di pejabat PPHT,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PPHT, Juruukur Daerah Ranau kerana mengadakan sesi taklimat kepada penduduk kampung terbabit. Sesi taklimat diadakan dengan kerjasama UPPM Kundasang.
Hadir sama, Setiausaha Politik I dan II Kementerian, Datuk Jonnybone Kurum dan Yubidi Gompoyo; Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM), Dounis Sani dan Ketua Daerah Ranau, OKK Dominic Ganie.