TAWAU: Suatu mayat manusia yang sudah reput dan tinggal rangka ditemui di dalam parit tepi Jalan Dr Yamamoto, di sini pada jam 1 petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, identiti mangsa termasuk jantinanya tidak dapat dikenalpasti memandangkan tiada dokumen ditemui.
Menurutnya, sebelum itu polis menerima panggilan telefon menerusi MERS999 mengatakan terdapat mayat reput di sebuah kebun berhampiran jalan SMK Tawau.
“Pasukan polis yang pergi ke lokasi mendapati mayat berkenaan di dalam parit sebelah kebun sayur berhampiran jalan utama Dr Yamamoto.
“Memandangkan keadaan reput dan berbau serta tinggal rangka, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh lama... Mangsa tidak berbaju dan hanya memakai seluar berwarna hitam,” katanya, menambah setakat ini tiada saksi kejadian.
Jasmin berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk proses bedah siasat untuk menentukan punca kematian.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).