Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) bercadang mewujudkan Pusat Sains atau Galeri Sains di setiap daerah di Sabah secara berperingkat.
Menterinya, Datuk Dr Ariffin Arif berkata, ia bagi memberi pendedahan lebih meluas tentang teknologi dan sains inovasi kepada seluruh masyarakat khususnya pelajar sekolah.
Menurutnya, di peringkat permulaan, inisiatif itu akan diwujudkan di enam bahagian secara berperingkat bagi memperluaskan manfaatnya kepada masyarakat.
“Tahun lalu kita telah wujudkan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau dan sambutannya amat menggalakkan manakala tahun ini kita akan mulakan di Perpustakaan Cawangan Tawau dan Sandakan.
“Tahun depan, kita akan wujudkan pula di Bahagian Pedalaman Bawah dan Pantai Barat Utara dan seterusnya di beberapa daerah khasnya yang jauh agar dapat nikmati kemudahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).
“Bagi kawasan kurang liputan telekomunikasi, kita akan pasang peranti Point of Presence (PoP) atau pun Starlink,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Inovasi Pendidikan Tinggi Islam Sabah (KIPTIS) 2024, di Hotel Hilton, di sini, Selasa.
Hadir sama Pengarah Instituti Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Khatijah Abd Rahman dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar.
Mengenai majlis itu, Ariffin yang juga Exco Hal Ehwal Islam berkata, pihaknya menyambut baik usaha IPDAS yang proaktif memastikan pengajaran dan pembelajaran mengikut perkembangan semasa.
Katanya, inisiatif yang menggunapakai teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu mencapai revolusi baharu dalam konsep penyampaian pendidikan Islam secara lebih sistematik.
“Namun, seperti yang selalu disebut bahawa di samping teknologi, kita perlu mempunyai kekuatan manusiawi, kekuatan jiwa yang asasnya adalah agama.
“Ini penting supaya kita dapat menggunakan teknologi yang ada dengan kebaikan untuk manfaat ummah dan kemanusiaan,” tegasnya.