Kota Kinabalu: Semua syarikat konsesi yang dilantik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membersihkan dan menyelenggara parit di bandar ini dinasihatkan supaya memberikan perkhidmatan yang cekap.
Mayor Datuk Dr Sabin Samitah berkata Hotline DBKK menerima aduan orang ramai pada 2 Julai lalu mengenai parit tersumbat sampah di Taman Seri Indah, Kuala Menggatal.
Katanya, pemeriksaan mendapati penyelenggaraan dan pembersihan parit di kawasan itu terletak di bawah bidang kuasa syarikat konsesi yang dilantik.
“DBKK segera memajukan aduan itu kepada syarikat konsesi. Bagaimanapun, aduan sama diterima semula pada 3 Julai lalu.
“DBKK kemudian menyemak semula status aduan dan mendapati kerja pembersihan parit telah dijalankan oleh syarikat konsesi pada 5 Julai lalu.
“Jumlah sampah yang banyak dalam parit menyebabkan aliran air tersumbat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabin berkata, longgokan sampah telah dibersihkan dan sistem perparitan kini mengalir dengan baik.
Beliau menggesa semua syarikat konsesi yang dilantik untuk memberikan prestasi terbaik, meningkatkan kekerapan jadual penyelenggaraan dan mematuhi skop kerja dan spesifikasi yang ditetapkan.
“DBKK mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan orang ramai,” kata Sabin.
Pada masa sama, beliau turut menyeru warga kota untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga sistem perparitan dengan tidak membuang sampah ke dalam parit.
“Tindakan ini menyumbang kepada masalah parit tersumbat dan akhirnya menghalang sistem perparitan berfungsi dengan baik,” kata Sabin.