Kota Kinabalu: Perkhidmatan transfusi Negeri Sabah mengalami defisit 14,000 beg darah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata hospital memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Sabah mempunyai kadar transfusi Sabah tinggi kerana negeri mempunyai penghidap Talasemia major tertinggi di Malaysia dengan 1,800 pesakit.
“Secara purata, 2,000 hingga 2,200 beg darah diperlukan di seluruh Malaysia untuk kegunaan 1,000 pesakit setiap hari.
“Untuk Sabah tahun lepas, 110,000 unit darah telah diberikan kepada pesakit berbanding 76,000 ribu unit yang dikumpulkan.
“Perkhidmatan transfusi negeri terpaksa meminta ihsan dari negeri lain untuk mengisi defisit sebanyak 14,000 beg darah.
“Justeru itu, pendermaan secara berterusan adalah perlu untuk memastikan simpanan stok darah semasa mencukupi dan selamat.
“Ini kerana jangka hayat darah yang pendek iaitu 42 hari untuk darah merah dan lima hari untuk platelet,” jelasnya.
Menurut beliau, ketika ini, kira-kira 2.3 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia adalah penderma darah.
Namun, angka tersebut jauh lebih rendah berbanding standard antarabangsa iaitu 5 peratus, sementara sasaran menjelang 2030 ialah 3.5 peratus.
“Kumpulan penderma darah yang kecil akan semakin berkurangan disebabkan peningkatan usia dan faktor-faktor lain sekiranya tiada penglibatan yang lebih dari masyarakat.
“Oleh itu, pihak hospital mensasarkan golongan muda (berumur 17 hingga 24 tahun) sebagai pelapis penderma darah baharu,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 di Hospital Likas.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar Ahsim Jamat yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Manusia Malaysia.
Ahsim berkata tema Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah “Meraikan Sambutan Ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia: Terima kasih, penderma darah!”
Fokus utama tema Hari Penderma Darah tahun ini adalah memberi penghargaan kepada penderma darah dan penganjur kempen derma darah atas usaha, komitmen dan pengorbanan masa dan tenaga mereka selama ini dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit.
Dalam majlis berkenaan, Ahsim menyampaikan beberapa anugerah kepada pemenang iaitu Anugerah Darah Tertinggi, Anugerah Penderma Darah Apheresis Terbaik, Anugerah Penganjur Kempen Terbaik, Anugerah Penghargaan kepada Penyumbang dan Penghargaan Jawatankuasa Pengelola Bersama.
Hadir sama adalah Pengarah Hospital Likas Marcus Netto; Ketua Unit Perubatan Transfusi Dr Jamaludin Mail; Ketua Jabatan Patologi dan Perubatan Transfusi Dr Kimberly Fe Joibi; Pengarah Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth ll Dr Shahnaz Irwani Chung; Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Sabah Datuk Asnan Yunus Chung dan Pengerusi Wilayah Kelab Lions Antarabangsa Fiona Chin.