Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan pelancong ekoran beberapa insiden, khususnya membabitkan warga China.
“Saya gembira dengan kehadiran ramai pelancong China di Sabah terutama selepas pandemik Covid-19. Saya harap jumlah itu akan terus meningkat.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini.
“Saya mahu keselamatan pelancong yang datang ke Sabah diutamakan. Kami tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing di Dewan Undangan Negeri, Khamis.
Turut hadir, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Josie Lai.
Hajiji berkata Sabah juga komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor bagi membawa lebih ramai pelabur dari negara itu.
Beliau berkata kini terdapat pelabur dari China di Sabah, antaranya Kumpulan Kibing yang melabur dalam pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
“Kehadiran pelabur di Sabah bukan sahaja meningkatkan ekonomi Negeri tetapi pada masa sama menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Justeru, saya berharap lebih ramai dari China akan melabur di Sabah dan kami amat mengalu-alukan kehadiran mereka. Lebih ramai pelabur yang datang, termasuk dari China, adalah petanda baik untuk ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus bekerjasama untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini. Program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) turut disentuh semasa lawatan tersebut.
Beliau mahu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyelesaikan perbezaan berkaitan isu tersebut.
Sementara itu, Ouyang berkata jumlah pelancong dari China ke Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda pada musim panas ini (Julai).
“Sudah tentu pelancong yang datang ke Malaysia juga akan melawat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan China menggalakkan pelaburan dari negara itu ke Malaysia dalam bidang teknologi tinggi seperti ekonomi digital, Kepintaran Buatan (AI), solar dan e-dagang.
“Sudah pasti kedua-dua negara akan menerima faedah daripada hubungan dua hala ini terutama dalam aspek pelaburan dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.