TAWAU: Sektor pertanian yang merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah menyumbang 15.2 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, menjadikan sektor itu sangat penting kepada negeri ini, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah, Muhammad Amri Idris.
Menurutnya, sejumlah 505,000 daripada 1.8 juta penduduk bekerja di negeri ini, bekerja dalam sektor pertanian iaitu hampir satu pertiga, sekali gus menunjukkan bidang itu sangat rapat dengan penduduk Sabah itu sendiri.
Beliau berkata demikian kepada media semasa sesi pemukiman banci pertanian 2024 bersama agensi pertanian di daerah peringkat bahagian Tawau, di Dewan Sri Gemilang, Bangunan Kastam Tawau di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Pengarah Bahagian Perangkaan Pengeluaran Industri dan Binaan, Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia, Noraliza Mohamad Ali.
Muhammad Amri berkata, sebanyak 217,899 isi rumah pertanian dan 2,361 pertubuhan perniagaan berkaitan perniagaan di negeri ini akan terlibat dalam Banci Pertanian 2024 bermula 7 Julai lalu sehingga 31 Oktober depan, membabitkan 1,161 petugas banci dan penyelia di seluruh Sabah.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi kerjasama kepada petugas banci agar maklumat diperoleh kelak adalah yang paling tepat dan terbaik supaya pihaknya dapat melaksanakan pembancian data berkualiti.
“Banci dilaksanakan untuk mengumpul stok dan profil sektor pertanian meliputi dimensi ekonomi, sosial serta alam sekitar dan dijadikan input utama bagi merangka polisi oleh pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau juga berharap ketua-ketua komuniti di negeri ini dapat membantu menyebarluaskan makluman tentang bancian yang sedang dilaksanakan pihaknya memandangkan faktor geografi dan muka bumi adalah antara cabaran pembancian di Sabah.
Katanya, maklumat komprehensif terkandung dalam soal selidik Banci Pertanian 2024 meliputi 11 butiran, antaranya, ciri-ciri demografi pertanian; tanah dan keluasan bertanam; sistem pengairan; pekerja gaji dan upah; latar belakang pendidikan dan agro-pelancongan.
Maklumat atau butiran lain, termasuk kemudahan pembiayaan; pendapatan, perbelanjaan dan aset; amalan pertanian dan penggunaan; ekonomi digital bagi tujuan pemasaran dan keterjaminan makanan.
Dalam pada itu, Muhammad Amri berkata, menerusi bancian itu juga, pihaknya akan cuba mendapatkan data penglibatan penduduk dalam sektor pertanian mengikut kod umur, memandangkan lebih 50 peratus penduduk negeri ini adalah golongan muda.
“Ini menunjukkan sektor pertanian sangat berpotensi di Sabah untuk turut diceburi oleh golongan muda… Kita tunggu hasil bancian ini nanti yang datanya dijangka akan dikeluarkan sekitar awal tahun hadapan,” katanya.