KENINGAU: Hajat seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun untuk berburu payau tidak kesampaian apabila cedera parah selepas tertembak diri sendiri dengan bakakuk.
“Empat jari sebelah kiri putus, patah tulang rusuk kiri.. satu biji anak peluru masih berada di tulang rusuk serta tiga biji lagi di lengan kiri,” kata Ketua Polis Keningau Supt Yampil Aanak Garai dalam kenyataan, Isnin.
Yampil berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 malam di kawasan kebun Kg. Panganitan Nabawan pada Ahad.
Menurut fakta kes, kira-kira jam 4 petang Ahad mangsa berjalan sendirian ke kawasan kebun Kg. Panganitan, Nabawan untuk tujuan memburu payau bersenjatakan bakakuk.
Ketika sedang berjalan menuruni kawasan cerun bukit, mangsa dikatakan tergelincir mengabitkan picu senjata terganggu mengakibatkan letupan mengenai tangan kiri dan dada mangsa.
“Selepas itu mangsa terbaring kesakitan dan sempat mengikat lengan sebelah kiri bagi mengelak pendarahan yang lebih teruk,” kata Yampil dan menambah mangsa ditemui oleh abangnya yang mencari mangsa yang tidak kembali ke rumah.
Menurut Yampil, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk rawatan, tetapi dipindahkan ke Hospital Besar Keningau untuk rawatan lanjut.
Polis merampas bakakuk serta kelonsong peluru tabur dalam chamber berukuran 118cm, sebutir kelonsong peluru tabur warna hitam tertera tulisan GB 12 bore serta kelengkapan pakaian mangsa untuk siasatan lanjut.
“Mangsa dalam keadaan stabil dan masih ditahan di wad Hospital Keningau,” katanya.