SEORANG penduduk Lido dan seorang lagi dari Kepayan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai kecenderungan pihak tertentu yang memotong rumput panjang di jalan perumahan mereka – atau kelodak di dalam longkang – namun hanya membiarkan sisa-sisa kerja ini.
Seorang pengguna di Taman Fortuna tidak senang hati dengan sisa taman yang ditinggalkan di kawasan umum di hadapan rumahnya.
Menurutnya, seorang kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memangkas dahan pokok yang tumbuh dekat kabel kuasa di bahagian kejiranan ini pada hujung Jun. Lebih dua minggu telah berlalu dan hanya sebahagian daripada sisa dahan yang telah dipangkas itu dibersihkan.
Sementara itu, seorang pembayar cukai di Taman Selesa kecewa apabila lumpur dilumpukkan di beberapa tempat di sepanjang jalan perumahannya.
Lumpur ini nampaknya dikorek dari dasar longkang halaman depan ketika ia dibersihkan “berbulan-bulan yang lalu”. Dia berkata lumpur ini ditinggalkan di bahu jalan begitu lama sehingga rumput tumbuh di dalam lumpur yang mengering.
TONG roro diletakkan di Taman Fortuna untuk menempatkan sisa taman bagi memastikan kabel elektrik bebas objek asing di sekitarnya.
Kedua-dua individu tersebut menyifatkan usaha penyelenggaraan ini sebagai “cuai”. Mereka memberikan maklumat berkaitan – termasuk lokasi ketidakteraturan ini – kepada Hotline.
Ia kemudiannya dikemukakan kepada SESB dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Seorang jurucakap SESB berkata pemeriksaan rekod menunjukkan bahawa kabel talian penghantaran di Taman Fortuna dibersihkan daripada objek asing – termasuk pokok menjalar atau dahan yang menjulur ke ruang udara kabel ini – pada 27 Jun.
Menurutnya, kontraktor yang ditugaskan untuk menjalankan kerja ini kembali ke kawasan perumahan dengan tong Roro (roll-on-roll-off) untuk membersihkan sisa-sisa ini pada 12 Julai.
“Kami difahamkan jumlah sisa taman bertambah sepanjang tempoh itu,” katanya. “Dia memberitahu kami bahawa terdapat lebih banyak sisa di tapak tersebut berbanding dengan apa yang ditinggalkan sebelumnya.”
Individu tersebut mengesyaki ada penduduk sekitar mungkin mengambil kesempatan untuk menambah sisa taman mereka sendiri ke dalam timbunan itu.
“Oleh sebab itu, dia tidak membersihkan semua sisa taman dari tepi jalan.
“Apabila ditanya mengapa ia mengambil masa 11 hari bekerja untuk menangani sisa-sisa tersebut, dia memberitahu kami bahawa ini disebabkan oleh masalah pengangkutan. Kenderaan tidak mencukupi untuk digunakan dan dia menghadapi kesukaran bagi menyewa pengangkutan diperlukan untuk mengalihkan sisa-sisa tersebut.”
KELIHATAN seorang pekerja berhampiran pokok yang dipangkas di sepanjang jalan di Taman Fortuna sejurus kerja dilakukan bulan lalu.
Jurucakap itu berkata kontraktor tersebut telah diarahkan supaya tidak menunggu terlalu lama pada masa hadapan.
“Dia harus mengumpul semua sisa pada hari sama dia membersihkan pokok menjalar dan dahan yang tumbuh panjang.
“Kami juga memintanya untuk kembali ke Taman Fortuna dan membersihkan sisa-sisa yang masih ada.”
Katanya, DBKK secara rasmi memaklumkan SESB mengenai sisa taman di atas bahu jalan di sana.
“Kami menerima surat dari agensi itu mengenai perkara ini minggu lepas.”
Dalam kes di Taman Selesa, seorang jurucakap Jabatan Landskap DBKK menyifatkan timbunan lumpur yang ditinggalkan di tepi jalan adalah susulan kelalaian syarikat konsesi kerajaan.
Lumpur yang ditinggalkan di jalan perumahan di Taman Selesa.
Katanya, ini bukan kali pertama masalah sedemikian dibawa ke perhatian agensi tersebut.
“Pada awal tahun ini, kami mendapat tahu tentang satu lagi timbunan lumpur yang mana, atas apa juga alasan, dibiarkan di kaki lima di Taman Richdar,” katanya.
“Seorang pembayar cukai Manggatal, yang membawa perkara ini kepada perhatian kami, mendakwa kakitangan syarikat sudah melakukan perkara ini, dari semasa ke semasa, sejak bertahun-tahun.”
Katanya, ramai pemilik rumah beranggapan DBKK yang harus dipersalahkan atas usaha acuh tak acuh untuk membersihkan longkang mereka, kerana mereka membayar cukai kepada agensi untuk menjaga struktur-struktur ini.
“Adalah tidak adil untuk mengharapkan pekerja kami masuk campur dan menyelesaikan kecuaian syarikat tersebut.”
Jelasnya, syarikat itu bertanggungjawab untuk membersihkan parit di sepanjang jalan perumahan di Ibu Negeri, manakala agensi tersebut menyelenggara longkang di belakang kediaman di bawah bidang kuasanya.
Jurucakap itu berkata pentadbiran tertinggi di DBKK berharap untuk mengadakan dialog dengan pengurusan syarikat mengenai masalah pembersihan parit.
“Kami ingin mengadakan mesyuarat dengan pegawai firma itu, serta pihak berkuasa penyelaras, untuk mencari penyelesaian bagi manfaat semua pembayar cukai perumahan kami di Kota Kinabalu.”