Kota Kinabalu: Kira-kira 1.3 juta (60 peratus) daripada 2.3 juta tenaga kerja Sabah tidak berdaftar sebagai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menjadikan negeri itu antara pencarum KWSP terendah di negara ini.
Pengarah Wilayah KWSP Sabah dan Labuan, Mohd Fadil Sarehan (gambar), berkata ini disebabkan beberapa faktor, termasuk celik kewangan rendah, persepsi salah terhadap KWSP serta cabaran infrastruktur dan geografi.
Beliau berkata bilangan majikan berdaftar KWSP di Sabah meningkat 13 peratus (4,181) daripada 35,138 pada Januari 2020 kepada 39,319 pada Jun 2024.
“Ini menunjukkan tahap kesedaran mencarum kepada KWSP dalam kalangan majikan di Sabah semakin meningkat.
“Secara keseluruhan, jumlah pencarum KWSP di Sabah juga meningkat 13 peratus (106,082) daripada 852,115 pada Januari 2020 kepada 958,197 pada Jun 2024.
“Ini menunjukkan liputan perlindungan sosial melalui budaya menabung dalam KWSP dan tahap kesedaran simpanan persaraan dalam kalangan rakyat Sabah semakin meningkat,” katanya pada EPF State Media Engagement (Sabah Chapter), di sini, Rabu.
Bagaimanapun, tidak semua pemegang akaun KWSP mempunyai simpanan dalam akaun mereka.
Mohd Fadil berkata sehingga Jun 2024, kira-kira 235,000 pemegang akaun KWSP mempunyai simpanan di bawah RM5,000, manakala 103,000 mempunyai antara RM5,000 dan RM10,000.
179,000 lagi ahli KWSP mempunyai antara RM10,000 dan RM50,000 dalam simpanan KWSP mereka, dan 60,000 mempunyai antara RM50,000 dan RM100,000.
Kira-kira 71,000 mempunyai antara RM100,000 dan RM500,000, manakala hanya 7,000 mempunyai setengah juta ringgit atau lebih dalam simpanan, kata Mohd Fadil.
Beliau berkata adalah penting untuk mempunyai simpanan sewajarnya bagi mengelak kekangan kewangan pada masa hadapan.
“Nasihat saya adalah untuk menyimpan dalam KWSP kerana ia adalah antara platform paling selamat untuk menyimpan dan mengumpul wang.”
Bagi memastikan trend ini terus meningkat dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah, Mohd Fadil berkata sokongan dan kerjasama daripada media amat diperlukan.
“Kerjasama berterusan dengan media adalah penting untuk meningkatkan lagi pendaftaran majikan yang mencarum kepada KWSP.”
Mohd Fadil menggalakkan rakyat Sabah menyertai i-Saraan yang merupakan insentif KWSP di bawah Belanjawan 2024 yang membolehkan individu yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan sebagai insentif daripada Kerajaan.
Menurutnya, simpanan i-Saraan boleh dibuat secara sukarela sama ada oleh individu itu sendiri atau pihak ketiga.
“Sebagai contoh, anak-anak menabung untuk bapanya, bapa menabung untuk anaknya dan adik-beradik menabung untuk abang/kakak.
“Kaedah simpanan sukarela kami semudah melakukan pembelian dalam talian. Ini bermakna kita memilih jumlah yang kita mahu dan hanya memindahkan jumlah tersebut.
“Kedua, apabila kita menabung secara sukarela, ia tidak terikat di sisi undang-undang buat masa ini, bermakna boleh simpan RM10 dalam i-Saraan hari ini dan kemudian simpan RM10 lagi lima bulan kemudian...tak perlu simpan setiap bulan seperti caruman biasa.
“Ketiga, menyimpan secara sukarela dalam KWSP adalah selamat, selain mendapat insentif daripada Kerajaan,” katanya.
Mohd Fadil berkata KWSP Sabah kini menumpukan usaha mempromosikan i-Saraan dalam kalangan kira-kira 80,000 orang di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan Pertubuhan Peladang di Sabah.
Mengenai majlis itu, beliau berkata ia membolehkan media memahami peranan dan cabaran yang dihadapi KWSP di Sabah, untuk membantu memberi kesedaran kepada rakyat tentang perancangan kewangan.
Hadir sama, Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP Muhammad Shuhaili Mohd Shafie dan Ketua KWSP Cawangan Kota Kinabalu Sabarudin Hassan, antara lain.