SIPITANG: Penduduk kampung mengesa syarikat konsesi melakukan pembaikan ke atas jalan dari P2 Kampung Ulu Bole hingga ke bekas tapak semaian SFI di Kg Mendulong dengan sempurna.
Penduduk Kampung Ulu Bole, Luis L, 61, berkata, beberapa bahagian jalan tersebut berlumpur dan becak sehingga paras tayar kereta.
“Senario ini kerap berlaku di jalan ini sehingga melewatkan perjalanan untuk sampai ke pekan Sipitang gara-gara jalan yang rosak teruk setiap kali hujan lebat,” katanya.
Ramai penduduk di kampung itu turun setiap Selasa bagi memasarkan hasil pertanian ke tamu pekan Sipitang, tambahnya.
“Ada di antara mereka ini mempunyai komitmen membayar balik pinjaman Amanah Iktiar Malaysia (AIM) setiap minggu.
“Oleh itu, kami amat berharap agar jalan tersebut diselenggarakan dengan menabur batu kerikil dan bukannya menggunakan tanah kuning yang hanya memburukkan keadaan,” katanya.