KENINGAU: Jenayah indeks di daerah ini meningkat 79 kes dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 73 kes dalam tempoh sama tahun lepas, menunjukkan peningkatan enam kes bersamaan 8.2 peratus.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai berkata, jenayah kekerasan turut meningkat sebanyak 19 kes dalam tempoh sama tahun ini berbanding 18 kes pada tahun lepas, iaitu peningkatan 5.56 peratus.
“Jenayah harta benda pula menunjukkan peningkatan lima kes atau 8.22 peratus, dengan 60 kes pada 2024 berbanding 55 kes tahun lepas,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Dataran IPD di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, hasil penyiasatan dan risikan berkualiti, keseluruhan penyelesaian kes bagi kedua-dua kategori jenayah pada 2024 adalah sebanyak 117.2 peratus iaitu masing-masing 79 kes dan 93 kes selesai.
Manakala, katanya, pertuduhan menunjukkan peningkatan 21.58 peratus, dengan 71.58 peratus pada 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak 49.70 peratus.
Yampil berkata, bagi siasatan jenayah narkotik pula, pada 2024 sebanyak 304 pelbagai operasi termasuk Op Tapis, Op Pusat Hiburan dan Op Tapis Khas dijalankan dengan menumpu kepada kawasan terlibat dengan pengedaran serta penggunaan dadah.
Ini, katanya, melibatkan pemeriksaan 445 orang serta rampasan sebanyak dadah jenis syabu berdasar maklumat yang diperolehi oleh pegawai dan anggota Narkotik IPD Keningau.
“Usaha ini adalah untuk menyekat pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini. Saya percaya dengan adanya pembanterasan berterusan oleh semua pihak dan komitmen jitu daripada semua elemen di IPD Keningau, maka lebih banyak lagi kawasan sarang aktiviti dadah yang dikenalpasti dapat dihapuskan pada tahun,” jelasnya.
Bagi jenayah komersial, Yampil memberitahu sebanyak 46 kertas siasatan dibuka bagi Januari hingga Jun tahun ini, melibatkan kes tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan kerugian sebanyak RM842,397.36 dan tangkapan 15 suspek, berbanding 40 kes dalam tempoh sama tahun lepas melibatkan kerugian RM614,779.92 dengan 25 tangkapan.
Sementara itu, beliau berkata tiga kes pecah amanah direkodkan pada 2024 melibatkan kerugian RM93,570 dan satu tangkapan, berbanding tiga kes pada 2023 melibatkan kerugia RM142,324.14 dengan satu tangkapan.
Dalam pada itu, katanya, PDRM sentiasa mempergiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat agar tidak terpedaya dengan tipu muslihat yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Pada masa sama, Yampil berkata, bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan hasrat pucuk pimpinan PDRM menjadikan jalan raya sebagai satu tempat yang selamat.
Namun demikian, katanya, jumlah kemalangan yang dilaporkan bagi tempoh enam bulan tahun ini ialah 381 kes berbanding 371 kes dalam tempoh sama tahun lepas, menunjukkan peningkatan 10 kes atau tiga peratus.
“Kemalangan maut juga meningkat iaitu 13 kes pada 2024 berbanding 11 kes tahun lepas, meningkat dia kes atau 15 peratus,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes kemalangan dilaporkan disebabkan kecuaian pemandu sendiri termasuk terbabas kerana memandu laju dan cuai ketika keluar masuk simpang atau bulatan.
Dari sudut pencegahan jenayah dan komuniti, Yampil berkata, perancangan program kesedaran pencegahan jenayah dalam kalangan komuniti perlu diperkasa.
Pada perhimpunan itu, Yampil menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada pegawai dan anggota daripada semua bahagian PDRM IPD Keningau.