LAHAD DATU: MUFC Legend dari Lahad Datu muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran dan membawa pulang piala dan RM10,000.
Kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan Ranau itu disertai sebanyak 32 pasukan.
Pengurus MUFC Legend, Daud Ahmad berkata, kejayaan itu diraih hasil kerjasama dan prestasi cemerlang semua pemain serta ahli MUFC Legend.
Katanya, pasukan itu menunjukkan semangat juang yang tinggi dan prestasi yang konsisten sepanjang kejohanan, dan ia berakhir dengan kejayaan.
“Kami akan terus bekerja keras dan mencapai lebih banyak lagi pada masa hadapan. Saya percaya semua ahli akan terus memberikan komitmen 100 peratus,” katanya semasa majlis makan malam meraikan kejayaan MUFC Legend.
Menurut Daud, pemain pmereka, Rahim Sahanung turut memenangi gelaran Pemain Terbaik manakala penjaga gol mereka, Lorensius Petrus memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik.
Katanya, gelaran itu menunjukkan kedua-dua pemain ini memainkan peranan penting dalam memimpin pasukan menuju kejayaan.
“Kami gembira dengan keputusan itu kerana bukan sahaja kami membawa pulang hadiah tetapi kami dapat memberi inspirasi kepada golongan veteran untuk terlibat dalam sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Daud berkata, pasukan mereka sudah bersedia untuk menghadapi satu lagi cabaran di Keningau pada September akan datang.
Tambahnya, pasukan akan terus berlatih dan diharap dapat memenangi kejohanan akan datang.