Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM211,898,427 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sabah tahun ini.
Peruntukan ini meliputi pelaksanaan projek-projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur awam, pembangunan, perumahan, landskap serta komuniti demi kesejahteraan penduduk setempat.
Selain itu, KPKT turut memperuntukkan bantuan kewangan bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan 38 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) berjumlah RM5,519,688.55 juta bagi 2023 hingga tahun ini.
Menteri KPKT Nga Kor Ming secara simbolik menyerahkan peruntukan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, pada Jumaat.
Peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah KPKT dan jabatan serta agensi di bawahnya di negeri ini.
Hajiji turut menyaksikan penyerahan Projek Menaik Taraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Baru Kayu Madang Kota Kinabalu, yang siap dibina, kepada kerajaan negeri.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib menyerahkan dokumen siap projek kepada Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong.
KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) melaksanakan projek pembinaan sel baharu di tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Kayu Madang pada Februari 2024 dengan kos keseluruhan sebanyak RM44.14 juta.
Tapak yang baru siap dibina itu mampu menerima 850 metrik tan sisa pepejal sehari, dilengkapi dengan system linear, system collection leachate dan sistem pelepasan gas.
JPSPN telah menaik taraf “Leachete Treatment Plant” dengan menggunakan teknologi nano filteration yang canggih dan membolehkan air larut resap (leachate) melepasi kesemua 24 parameter yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebelum air terawat ini dilepaskan ke punca air.
Projek itu akan memberikan manfaat kepada penduduk di lima kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu DBKK, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Kota Belud dan Majlis Daerah Penampang.
Selain itu, KPKT melalui JPSPN juga sedang mereka bentuk dua lagi projek baharu bernilai RM77 juta iaitu Projek Pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa pepejal Pantai Barat Selatan dengan kos RM47 juta, dan RM30 juta untuk projek menaik taraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Labuk, Sandakan.
Sementara itu, KPKT juga memohon peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi kelulusan Pelan Pusingan Kelima (RP5) Tahun 2025 bagi empat lagi projek baharu pengurusan sisa pepejal khusus untuk Sabah bernilai hampir RM105 juta.
Projek-projek tersebut ialah pembinaan Fasa 1 Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Berpusat Lahad Datu Landfill Level 4 dengan kos RM40,995,364.86; penutupan selamat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kampung Langkawit, Papar dengan kos sebanyak RM17,010,000.00; pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Kota Marudu (RM21,011,898.48) dan pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Keningau (RM25,956,844.95).
Menerusi siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT di Sabah selama dua hari, Nga dan pasukan KPKT telah meninjau ke 10 lokasi.
Ini adalah Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan; PPR Taman Sri Serigai Putatan; Majlis Penyerahan Tapak Tamu Putatan; Projek Menaik Taraf Infrastruktur Pasar Am Donggongon, Penampang; Majlis Penyerahan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Gereja BCCM Penampang; Residensi Menggatal @ PR1MA; Taman Botani Tun Fuad Stephens;
Sesi Kunjungan Hormat ke atas Ketua Menteri Sabah dan Penyerahan Projek Naik Taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kayu Madang; Projek Baik Pulih Rumah di Pulau Gaya, dan Projek Menaik Taraf Dewan Serbaguna Luyang.