LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barangan kawalan di pantai Taba Batang, di sini, pada Rabu.
Pegawai Pemerintah PPM Lahad Datu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, ketika menjalankan tugas pengawasan di kawasan itu, pasukan itu mengesan dua lelaki menaiki bot dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan menghampiri bot berkenaan, bagaimanapun dua lelaki itu terjun ke dalam air dan melarikan diri ke arah kawasan bakau.
Anggota pasukan cuba menjejaki suspek tetapi tidak berhasil.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot, yang dipercayai dari negara jiran, menemukan sejumlah 538 pek minyak masak dalam peket 1kg dan dua unit enjin.
“Pasukan kemudiannya merampas bot berkenaan, enjin dan minyak masak tersebut dianggarkan bernilai RM33,345,” katanya.
Rohizan berkata, aset dan barang kawalan yang dirampas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
Tambahnya, kesemua rampasan dibawa ke pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.