Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya, mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang dilihat memberi bayangan bahawa beliau menyalahkan pelancong atas masalah air di negeri ini.
Bercakap kepada media selepas menghadiri majlis anugerah kecemerlangan pelajar pada Sabtu, Shahelmey menjelaskan, “Kalau dibaca laporan itu, apa yang dilaporkan adalah seperti yang saya nyatakan cuma tajuknya tu seolah-olah saya menyalahkan kehadiran pelancong.
“Maksud saya bila ada kehadiran orang ramai jadi permintaan meningkat bukan bermaksud saya salahkan kehadiran pelancong bahkan kita mengalu-alukan kedatangan pelancong,” katanya.
Shahelmey berkata komitmen Jabatan Air Negeri untuk menyelesaikan isu air, khususnya memberi tumpuan kepada pengurusan tekanan air.
“Apabila permintaan tinggi, memadang ada kekangan bekalan. Jurutera kami sedang berusaha untuk mengimbangi tekanan air di kawasan berbeza, yang merupakan satu proses kompleks disebabkan oleh fluid mechanics,” katanya.
Menteri itu menekankan beberapa cabaran, termasuk infrastruktur yang sudah lama dan potensi kerosakan daripada aktiviti pembinaan.
Beliau juga menyebut usaha berterusan untuk menangani sambungan air haram, yang telah menunjukkan hasil positif.
Mengenai keadaan air semasa, Shahelmey melaporkan bekalan agak stabil di Kota Kinabalu, dengan beberapa kawasan mengalami tekanan rendah.
“Kawasan Kota Kinabalu Utara di Sepanggar agak stabil. Pusat bandaraya secara amnya stabil, dengan sedikit gangguan di beberapa kawasan hujung,” katanya.
Shahelmey memberi jaminan Jabatan Air sentiasa berusaha untuk mengimbangi tekanan dan melaksanakan rancangan jangka panjang untuk memperbaiki keadaan bekalan air secara keseluruhan di Sabah.