Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Minggu Promosi Kesihatan Pergigian fokus penjagaan, pencegahan awal
Published on: Wednesday, July 31, 2024
Published on: Wed, Jul 31, 2024
By: Ahmad Apong
Text Size:
Text:
Minggu Promosi Kesihatan Pergigian fokus penjagaan, pencegahan awal
DR Asits Bersama Dr Thaddius Herman melakukan gimik
BEAUFORT: Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2024 Peringkat Negeri Sabah dengan tema “123 Senyum Jaga Gigi, Senyuman Abadi” merupakan aktiviti tahunan yang memfokuskan kepada pengukuhan penjagaan kendiri, pencegahan serta rawatan penyakit pergigian melalui saringan awal.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) 2024 yang diadakan di Dewan Pak Musa pada Sabtu lalu.

Advertisement
Beliau berkata pemeriksaan pergigian berkala sekurang-kurangnya sekali sekali setahun adalah penting dalam pengesanan pelbagai masalah pergigian di peringkat awal, dan seterusnya mencegah kehilangan gigi. Ia juga akan mengurangkan keperluan rawatan yang lebih mahal dan kompleks pada masa akan datang.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut (Nohsa 2020) untuk Sabah menunjukkan 82 peratus kanak-kanak berumur enam tahun didapati mempunyai masalah karies (gigi berlubang),” katanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa masalah kesihatan pergigian adalah lebih serius di kawasan luar bandar, berpunca daripada diet yang tinggi kandungan gula serta kurangnya penekanan kepada amalan pencegahan dan pemeliharaan kesihatan pergigian.

Dr Asits juga berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berusaha untuk meningkatkan taraf kesihatan oral (mulut) penduduk di negeri ini.

Advertisement
Pelbagai program yang menggalakkan amalan pencegahan sebagai rutin kehidupan sering dianjurkan seperti memberus gigi dua kali sehari secara berkesan dan menggunakan ubat gigi berfluorida, berkumur setiap kali selepas makan. 

Ini selain mengamalkan pemakanan sihat dengan melakukan pemeriksaan sendiri mulut dan mendapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya setahun sekali.

Advertisement
Minggu Promosi Kesihatan Pergigian yang disambut dari 15 hingga 27 Julai  di Sabah adalah satu daripada inisiatif dalam memupuk kesedaran orang ramai akan kepentingan penjagaan kesihatan pergigian sepanjang hayat.

Beliau berkata antara aktiviti yang dianjurkan di seluruh Sabah adalah ceramah kesihatan pergigian oleh pakar dan pegawai pergigian melalui pelbagai media massa dan media sosial, pameran, saringan dan pemeriksaan pergigian percuma, sapuan fluorida, permainan interaktif, pertandingan aerodance, pertandingan memberus gigi berirama, pertandingan pidato, pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan kuiz dan persembahan buskers pergigian.

Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meluaskan perkhidmatan melalui jaringan Klinik Pergigian, Klinik Pakar Pergigian, Klinik Pergigian Sekolah, Klinik Pergigian Bergerak dan Pasukan Pergigian Bergerak.

Justeru pada 2024, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mendapat kelulusan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 4 untuk perolehan tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu yang merangkumi tiga bas coaster untuk daerah Penampang, Keningau dan Kudat, katanya.

Di samping itu, kelulusan juga diperolehi untuk penubuhan empat Pasukan Pergigian Bergerak sebagai sebahagian daripada perluasan perkhidmatan di Klinik Pergigian Kepayan, Luyang, Telupid dan Tawau.

Beliau berkata dalam usaha mengekang karies pergigian, pencegahan secara strategi populasi seperti pemfluoridaan bekalan air awam dan kumuran mulut berfluorida turut diperluaskan.

“Sejumlah 31 sekolah rendah dengan bilangan 2,970 murid secara konsisten mengikuti program kumuran pada setiap minggu persekolahan di seluruh negeri,” katanya.

Melalui usaha seperti ini, beliau berharap lebih ramai penduduk di Sabah dapat menerima kemudahan kesihatan pergigian, sama ada khidmat penggalakan, pencegahan dan rawatan kesihatan pergigian, dan secara tidak langsung ini akan meningkatkan taraf kesihatan oral di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pergigian) Dr Thaddius Herman Maling dan Pegawai Pergigian Kawasan Beaufort Dr Rozytha Robin.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here