BEAUFORT: Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam bercadang membangunkan semula penanaman padi sawah di kawasan itu sebagai antara inisiatif menambah bekalan beras di Sabah.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Beaufort bagi merealisasikan perancangan itu.
Katanya, projek tanaman sawah padi itu terbahagi kepada dua iaitu pelaksanaan secara komersial dan tidak komersial membabitkan penanaman secara berkelompok dengan pengusaha persendirian.
“Terdapat kira-kira 200 ekar keluasan sawah terbiar dan tanah milik ahli PKK Beaufort yang sudah dikenal pasti, dan berpotensi untuk tujuan itu sebagai projek permulaan sebelum beralih ke fasa lebih luas.
“Saya juga akan berbincang dengan Jabatan Pertanian Daerah Beaufort, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Beaufort supaya dapat dirangka satu pelan untuk memulakan usaha ini.
“Melaluinya, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebergantungan kita terhadap hasil padi import, sekaligus membantu kerajaan meningkatkan keterjaminan bekalan makanan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKK Beaufort yang turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Nazri Abdullah.
Sementara itu, Nazri berkata pihaknya menyokong dan akan bekerjasama untuk merealisasikan aspirasi berkenaan, sekali gus meningkatkan ekonomi ahli PKK terlibat.
Katanya, inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan pusat dan negeri yang sentiasa membantu menerusi pelbagai program bantuan pertanian bagi menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
“PKK Beaufort bersama pemilik tanah (yang juga) ahli Peladang ini akan sama-sama membangunkan tanah ini supaya dapat membantu kerajaan meningkatkan bekalan beras kita.
“Justeru, saya penuh yakin ahli-ahli Peladang Beaufort akan menjayakan program yang telah dirancang ini,” katanya.