PITAS: Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Senaja dan seorang anak perempuannya yang juga pelajar pusat tahfiz Raudhatul Huffaz, serta seorang ahli keluarga mereka rentung dalam kebakaran yang meranapkan rumah mereka di Kampung Taka, awal pagi Khamis.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kudat, Kamarudin Sogon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, mayat Abdul Malik Mad Tasin, 50, anak perempuannya Nur Adriana Qistina Abdul Malik, 12, dan saudara mereka Salleh Onding, 60, ditemukan di tapak rumah berkenaan.
Kamarudin berkata, ketiga-tiga mangsa ditemukan oleh pasukan Bomba manakala tiga lagi mangsa perempuan yang mengalami cedera ringan telah dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam.
Katanya, Salleh ditemui di bahagian ruang tamu rumah pada jam 3.27 pagi, Abdul Malik ditemui di kawasan dapur pada jam 3.40 pagi, manakala Nur Adriana ditemukan di bahagian kamar mandi pada jam 4.26 pagi.
“Tiga lagi mangsa cedera iaitu isteri kepada Abdul Malik, Afnah Tundan dan dua anak mereka Nur Ika Afmaleena Abdul Malik dan Nurattyqah Abdul Malik sempat menyelamatkan diri, dipercayai melompat melalui tingkap rumah.
“Seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Asman Omar, bersama sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti, dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 65 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 pagi.
Menurut Kamarudin, selain rumah, sebuah Perodua Kembara dan sebuah Proton Waja turut musnah terbakar.
Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran, satu pancutan 100 kaki dengan sumber air dari jentera.
Mayat tiga mangsa itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.