Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 61 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana merompak seorang wanita.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Jusry Omasya selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Jusry.
Jusry didapati bersalah merompak Asnolia Jonol, 25, dengan mengambil Iphone 13 miliknya jam 11.10 pagi pada 3 Sept 2023 di hadapan bangunan Wisma Kebudayaan, di sini.
Semasa kejadian itu, Jusry turut menyebabkan Asnolia cedera.
Dia disabitkan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Jusry menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 5 Sept 2023 dan tiada sebatan dikenakan ke atasnya kerana usianya.
Semasa mitigasi, Jusry yang tidak diwakili merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia seorang OKU dan sudah tua.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia adalah penjaga loji air Jabatan Air Negeri sebelum ini tetapi sudah bersara.
Jusry turut memaklumkan mahkamah bahawa dia perlu menjaga empat anaknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan ia merupakan kesalahan serius dan kes seumpama itu sangat berleluasa pada masa kini.
Tham juga berhujah bahawa kes itu menjalani perbicaraan penuh.
Lima saksi pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.