TAWAU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) menyerahkan 10 tangki penuaian air hujan dalam satu majlis yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, baru-baru ini.
Tangki ini akan diedarkan ke Balai Bomba Zon Tawau, seperti BBP Tawau, BBP Semporna, BBP Atas Air Semporna, BBP Kunak dan BBP Lahad Datu.
Presiden Shareda, Datuk Sr Chua Soon Ping menyerahkan tangki-tangki tersebut kepada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ts Farhan Sufyan Borhan.
Chua berkata, Shareda komited untuk membantu Bomba di seluruh Sabah dengan cara mendermakan tangki penuaian air hujan yang akan digunakan semasa kemarau atau semasa misi penyelamatan di kawasan terpencil yang memerlukan sumber air luar.
Kumpulan pertama tangki telah diserahkan kepada BBP Kota Kinabalu pada Februari, dan kumpulan kedua kepada BBP Sandakan pada Julai lalu.
Turut hadir, Ahli Majlis Shareda Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu dan Joanne Wendy Chung serta Pengerusi Belia Shareda, Roland Ling Leh Hiap serta ketua-ketua BBP dan pegawai dari daerah Zon Tawau.