SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 400 karton rokok seludup di perairan di sini.
Pegawai Pemerintah PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, satu pasukan mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1.30 pagi.
Apabila dihampiri, bot itu memecut dan selepas dikejar selama 10 minit, juragan dan awak-awak bot itu terjun ke dalam air untuk melarikan diri.
Mohamad berkata usaha untuk mengesan suspek tidak berhasil disebabkan keadaan gelap.
“Pemeriksaan bot pam itu menemukan 400 karton rokok L3 Menthol yang disembunyikan di bawah kanvas hijau.
“Semua rampasan, dianggarkan bernilai RM129,500, dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menambah, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.