PAPAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan enam Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) melibatkan Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang, termasuk di Sabah yang dilancarkan Isnin.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lepas itu merupakan salah satu inisiatif pihaknya dalam usaha membendung kes penderaan kanak-kanak dan juga keganasan rumah tangga.
Menurutnya, CBO menjadi panduan bagi membantu masyarakat yang memerlukan sokongan atau bantuan, khususnya kumpulan sasar di bawah KPWKM seperti wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Direktori ini akan diperluaskan kepada semua daerah dan negeri di Malaysia untuk memudahkan capaian maklumat serta dapat mempercepatkan lagi tindakan diambil oleh CBO bagi membantu komuniti memerlukan.
“Majlis pelancaran direktori CBO ini juga akan dilaksanakan di Kuala Lumpur yang dicadangkan pada 3 September dan di Sarawak pada 18 September ini di Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pelancaran Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM @Papar, bertempat di Dewan Masyarakat Papar, di sini, Isnin.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Dalam pada itu, Nancy ketika ditemui pemberita berkata pelaksanaan program CBO juga memperlihatkan keberkesanannya lebih cepat berikutan peranan yang dimainkan oleh masyarakat setempat seperti ketua kampung atau pemimpin masyarakat.
“Kita dapat lihat proses (keberkesanan program) semakin cepat. Jika berlaku sesuatu di kawasan mereka, cepatlah komunikasi itu wujud terutama sekali (jika mereka) menghubungi kementerian kami.
“Jadi semua (pihak) yang memainkan peranan ini mempercepatkan proses (program), kesannya lebih cepat berbanding sebelum ini,” katanya.
CBO terdiri pelbagai jawatankuasa dan sukarelawan kebajikan termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) berperanan sebagai rakan strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyantuni seterusnya melindungi kumpulan sasar di bawah kementerian itu.
Sementara itu, Armizan berkata kewujudan Direktori CBO itu bukan saja mampu memperkemas serta memperkukuh fungsi KPWKM dan JKM, tetapi juga dapat membantu agensi lain seperti pejabat khidmat Ahli Parlimen dan Adun di seluruh daerah.
Beliau berkata usaha ini akan dapat memastikan gerak kerja membantu masyarakat di peringkat akar umbi lebih tersusun termasuk dalam aspek pembangunan dan penyaluran bantuan kepada golongan sasar memandangkan data menerusi CBO boleh dikongsi serta diguna pakai oleh agensi lain.
“Saya amat mengalu-alukan pendekatan mewujudkan CBO ini dan saya yakin ia akan dapat membantu agenda sosial kerajaan diterajui KPWKM.
“Dengan adanya CBO, kita boleh memastikan perkongsian data wujud dan boleh diguna pakai bersama dalam kita memastikan tidak ada masyarakat atau kumpulan sasar terpinggir daripada menerima bantuan serta sokongan daripada kerajaan,” katanya.