Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran membina lebih banyak replika hidupan laut di sekitar bandaraya ini, sesuai dengan kekayaan sumber laut dan sungai di Sabah.
Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), Kong Soon Choi berkata, pembinaan replika hidupan laut bukan sahaja boleh diukir menggunakan bahan seperti simen, malah boleh diserlahkan melalui lukisan mural di lokasi yang sesuai. .
“Pengunjung dari dalam dan luar negara kagum dengan kekayaan sumber laut di Sabah. Mereka juga gemar datang ke negeri ini semata-mata untuk melihat dan menikmati makanan laut yang segar.
“Justeru, bagi menarik lebih ramai pelancong, DBKK boleh memikirkan kawasan yang sesuai untuk membina replika seperti ikan, udang, ketam atau apa-apa sumber marin yang unik dan menarik pelancong,” katanya.
Kong turut menjelaskan, usaha yang dicadangkan itu turut memberi ruang pendapatan kepada mereka yang berbakat mengubah replika atau mural.
Pada masa sama, Bandaraya Kota Kinabalu akan mendapat liputan secara percuma melalui pengguna media sosial yang membantu menyebarkan keunikan tersebut.
“Lihat sahaja apa yang disebarkan oleh pelancong dan orang ramai mengenai keunikan sebuah bank yang terletak di bandar ini baru-baru ini.
“Ia diketahui ramai orang kerana ia dikongsi di media sosial,” katanya.
Salah satu tarikan pelancong di Bandaraya Kota Kinabalu ialah replika ikan todak yang terletak di bulatan bersebelahan Hotel Hyatt di mana ramai pelancong dari dalam dan luar negara gemar mengambil gambar kenangan di lokasi tersebut.