KENINGAU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM60 juta untuk pembinaan fasa ke-3 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas) di sini bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembinaan yang sedang berjalan itu, yang dijangka siap pada Mac 2026, akan membolehkan Ipdas Kampus Keningau menampung seramai 700 pelajar.
“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, Ipdas akan dibekalkan dengan pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah.
“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya Ipdas,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ipdas Kali Ke-18 di Dewan Tun Sakaran, Ipdas pada Selasa.
Hajiji berkata, istiadat konvokesyen itu merupakan simbol kejayaan Ipdas dalam melahirkan warga berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini.
Beliau yakin Ipdas, sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah Jakim, berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.
Beliau juga mempelawa pelabur meneroka peluang di Sabah untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.
Menurutnya, inisiatif itu mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, di samping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.
“Ini merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, di samping pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang,” katanya.
Beliau berkata, ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.