Kota Kinabalu: Pembedahan otak secara sedar atau "awake mini craniotomy" yang pertama di Sabah telah berjaya dilaksanakan, kata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr. Asits Sanna.
Pasukan pembedahan neuro Hospital Queen Elizabeth II dengan kolaborasi bersama pakar bius otak Universiti Malaysia Sabah telah berjaya melakukan pembedahan tersebut ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik pada 30 Julai 2024, kata beliau menurut kenyataan media.
"Pesakit tersebut mengalami pendarahan subdural kronik yang besar di bahagian kiri otak akibat terjatuh di taman perumahannya dua minggu lalu, yang mengakibatkan pesakit mengalami gejala sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan," kata Asits.
"Keputusan untuk melakukan pembedahan ini dengan segera telah dibuat bagi mengeluarkan darah beku di otak memandangkan fungsi saraf pesakit ini yang semakin merosot."