RANAU: Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menyangkal dakwaan beliau hanya “turun padang” ketika waktu pilihan raya.
Katanya, beliau melakukan usaha konsisten untuk berkhidmat kepada rakyat Kundasang dan Negeri, walaupun di luar musim pilihan raya.
Joachim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Adun Kundasang, berucap pada Majlis Bersama Pemimpin di Kg Karagasan di mana beliau bertemu penduduk dari tujuh kampung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) itu.
Menjawab dakwaan bahawa beliau hanya muncul semasa pilihan raya, Joachim menjelaskan beliau telah membuat beberapa lawatan ke PDM.
Dalam lawatan dua hari itu, beliau meninjau tapak balai raya mini Kampung Gusi yang akan dibina tahun ini.
Beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada penduduk kampung sebelum melancarkan balai raya baharu di Kg Agan.
Sementara itu, Joachim menekankan pelbagai projek pembangunan Kerajaan yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat seperti jalan raya serta bekalan elektrik dan air bersih.
“Ini termasuk di DUN Kundasang, di mana projek yang sedang dijalankan melibatkan jalan menuju ke SMK Ulu Sugut, PDM Kaingaran dan ke Mini Estet Sejahtera (Mesej) Kg Mansalu.
“Pembangunan sebegini akan diteruskan oleh kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Beliau menasihatkan penduduk kampung dalam PDM supaya menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri akan datang.
Turut hadir Setiausaha Politiknya Yubidi Gompoyo, Ketua Daerah I OKK Muhasip Ruman, Ketua Daerah II Dominic Ganie, Pemaju Mukim Ratimin Kokonut, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Ajip Basanun serta ketua dan pemimpin masyarakat.