TAWAU: Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (TCCC) mencadangkan penambahan tanda arah dalam Bahasa Cina di kawasan balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau (LTT), bagi memudahkan pelancong China memahami peraturan berkaitan cukai kastam.
Timbalan Presiden TCCC, William Tan berkata, perkara itu susulan beberapa insiden salah faham dalam kalangan pelancong China melibatkan isu cukai, dan pihaknya berharap cadangan itu dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus mengurangkan aduan akibat kekangan bahasa.
Selain itu, katanya, pihaknya turut mencadangkan agar pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengemaskini panduan pelancong di laman web rasmi mereka dengan menyenaraikan secara jelas bahawa pengecualian cukai hanya terpakai untuk lapangan terbang antarabangsa yang diiktiraf.
“Begitu juga dengan senarai semua lapangan terbang domestik serta antarabangsa. Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelancong memahami polisi cukai sebelum ketibaan mereka, sekali gus mengurangkan kemungkinan kekeliruan.
“Kita juga mengusulkan agar pegawai kastam di LTT diberikan latihan asas dalam bahasa Cina. Ini bertujuan untuk memperbaiki komunikasi dengan pelancong China serta mengurangkan ketegangan yang mungkin timbul akibat masalah bahasa,” katanya lagi.
Menurutnya, cadangan penambahbaikan tersebut dikemukakan pihaknya dalam pertemuan penting dengan Ketua Kastam Tawau, Sabardin Lahabun pada Selasa, berkenaan isu kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pelancong China mengenai peraturan cukai.
Hasil pertemuan itu, katanya, pihaknya dimaklumkan isu tersebut timbul berpunca daripada salah faham. Ini kerana berdasarkan peraturan sedia ada kastam Malaysia, pelancong yang memasuki Malaysia boleh menikmati pengecualian cukai tertentu, namun polisi ini hanya terpakai di lapangan terbang antarabangsa yang diiktiraf.
“Memandangkan LTT belum disenaraikan sebagai lapangan terbang antarabangsa oleh kerajaan persekutuan, maka cukai dikenakan ke atas pelancong asing yang tiba di Tawau mengikut peraturan sedia ada,” katanya.
Justeru itu, katanya, pihaknya berharap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kepada KDRM Tawau tersebut dapat dilaksanakan dalam usaha memperbaiki situasi dan mengurangkan kekeliruan pelancong pada masa hadapan.
“Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan LTT demi menjaga reputasi Tawau dan menyediakan pengalaman kemasukan pelancong yang lebih baik serta memuaskan,” katanya.
William berkata, TCCC amat menghargai peranan KDRM dalam memastikan kepatuhan terhadap peraturan dan sumbangan mereka dalam memelihara kepentingan ekonomi serta keselamatan negara.
Di pihak TCCC, katanya, komitmen mereka adalah untuk terus berfungsi sebagai penghubung dan bekerjasama dengan pengurusan LTT, agensi pelancongan, dan pihak berkaitan lain dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di pintu masuk Tawau melalui udara.
Sementara itu, Sabardin berkata, cadangan membina daripada TCCC itu akan dipertimbangkan dengan serius memandangkan perkara itu signifikan kepada kemasukan pelancong asing, khususnya dari China, demi memajukan ekonomi tempatan dan sektor pelancongan di Tawau.