Thu, 11 Jun 2026
Headlines:
Projek restorasi hutan bakal beri impak besar untuk Silam
Published on: Friday, August 23, 2024
Published on: Fri, Aug 23, 2024
By: Azmie Lim
Text Size:
Text:
Projek restorasi hutan bakal beri impak besar untuk Silam
MAJLIS menandatangani Memorandum perjanjian antara Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Preferred by Nature.
LAHAD DATU: Projek restorasi hutan di Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) dijangka akan memberi impak besar bukan sahaja kepada pemuliharaan alam sekitar bahkan menyokong pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitarnya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, SCCA merupakan kawasan hutan yang telah diganggu dengan hampir 70 peratus daripada kawasan ini musnah akibat pembersihan tanah secara haram untuk pembukaan ladang kelapa sawit.

Advertisement
Katanya, susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan dan Kumpulan Yayasan Sabah telah mengambil inisiatif untuk mengurus kawasan ini sebagai sebuah kawasan konservasi.

“Saya dimaklumkan, pada 2015, satu ekspedisi saintifik telah diadakan di SCCA yang disertai oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan badan bukan kerajaan. 

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Hasil dapatan daripada ekspedisi tersebut mendapati kawasan ini terdiri daripada hutan pesisir pantai dan hutan bakau yang mempunyai nilai biodiversiti yang tinggi.

“Ekspedisi tersebut juga merekodkan sebanyak 24 spesies mamalia, 60 spesies burung dan 63 spesies pokok bakau, 57 genera batu karang, 147 spesies ikan terumbu karang dan 40 spesies invertebrata marin,” katanya.

Advertisement
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Preferred By Nature (PbN), Khamis.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Preferred by Nature, Peter Feilberg dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.

Advertisement
Menurut beliau, restorasi hutan bukan lagi perkara asing bagi Kumpulan Yayasan Sabah yang berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam mengendalikan restorasi hutan seperti projek INFAPRO di Lahad Datu dan INIKEA di Tawau.

Pada memorandum perjanjian kali ini, Kumpulan Yayasan Sabah akan menceburi projek restorasi hutan pesisir pantai bersama PbN.

“Saya difahamkan projek restorasi hutan ini akan merangkumi tapak kawasan konservasi berkeluasan 100 hektar. Inisiatif ini akan dibiayai sepenuhnya oleh PbN dengan dana sebanyak RM1.2 juta bagi tempoh lapan tahun dengan Kumpulan Yayasan Sabah bertanggungjawab untuk menyelia dan memantau kerja-kerja restorasi serta memastikan kejayaan kelestarian projek ini.

“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bangga kerana projek restorasi hutan ini adalah selaras dengan Pelan Induk Hutan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mana inisiatif ini menyokong program pemuliharaan hutan agar khazanah alam semulajadi yang tidak ternilai ini dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada PbN atas sokongan yang diberikan melalui dana untuk projek ini dan berharap kolaborasi antara Jabatan Perhutanan Sabah dengan Kumpulan Yayasan Sabah bersama PbN akan berterusan dalam projek restorasi ekosistem di kawasan ini memandangkan sejumlah 360 hektar kawasan darat SCCA masih mempunyai potensi untuk direstorasi.

Beliau juga berharap agar kolaborasi projek ini dapat diperluaskan sehingga ke kawasan hutan paya bakau dan terumbu karang di sekitar kawasan SCCA. 

“Kawasan konservasi ini turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi kerana terdapatnya kepelbagaian geologi seperti batu basalt berbentuk seperti ‘bantal’ yang terdiri daripada batu ‘Darvel Bay Ophiolite Complex’, iaitu batu enapan yang tertua di Sabah. 

“Saya berharap masyarakat setempat akan mengambil peluang ini dan bekerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah dalam menjaga kelestarian kawasan ini demi generasi akan datang,” katanya.

Mohd Ariffin dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan terutamanya kepada pihak pasukan keselamatan yang sentiasa bertungkus lumus dalam tugas menjaga keselamatan di sekitar kawasan konservasi ini.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here