TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperuntukkan RM60 juta untuk pembangunan Sistem Automasi Pembahagian (DA) di 200 pencawang di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 hingga 2024.
Ketua Pegawai Transformasi (CTO) SESB, Ahmad Nassaruddin Kamaruzaman berkata, projek itu akan diteruskan tahun hadapan sehingga 2027 dengan jumlah peruntukan sama di 200 lagi pencawang.
“Kita menyasarkan bilangan ini akan ditambah lagi bagi projek seterusnya pada 2028 hingga 2030,” katanya kepada media selepas lawatan projek DA yang siap dipasang di Stesen Suis Utama (SSU) Hospital Tawau, di sini.
Ketika ini, katanya, pemasangan sistem ini semakin rancak, dan SESB menjangkakan menjelang 2030, sebanyak 1,250 lokasi di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan akan siap dipasang dengan sistem DA.
Menurutnya, sistem tersebut berjaya membantu menurunkan tempoh pemulihan bekalan elektrik sejak digunakan SESB pada 2018 sebagai langkah proaktif mengukuhkan sistem pembekalan elektrik sedia ada, terutamanya melibatkan talian yang tidak berpenebat.
“Sistem DA ini sudahpun siap dipasang dan dioperasikan di 500 lokasi strategik seluruh Sabah dan Labuan.
“Sistem ini juga berjaya meningkatkan keboleharapan bekalan, kecekapan operasi, kepuasan pelanggan dan keselamatan operasi,” katanya.
Ahmad Nasaruddin berkata, projek tersebut juga akan menjadi loncatan kepada pelaksanaan teknologi grid pintar di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemasangan sistem tersebut membolehkan sistem pembekalan elektrik dikendalikan terus dari Pusat Kawalan Pembahagian (DCC) di Kota Kinabalu.
“Ini bermaksud, sekiranya berlaku gangguan di lokasi sistem ini dipasang, pihak DCC boleh mengenalpasti kerosakan dan seterusnya mengambil tindakan pemulihan bekalan dengan kadar segera.
“Berbanding sebelum adanya sistem DA ini, pasukan teknikal SESB terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mencari dan membuat pembaikan kerosakan kerana perlu berada di tapak dan sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna,” katanya.
Menurutnya, antara kelebihan utama sistem itu dipasang di kawasan kritikal seperti hospital, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Ketua Menteri adalah bagi memastikan bekalan secara berterusan.
Ini termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dan kawasan sesak agar bekalan dapat dipulihkan dengan kadar segera tanpa pergerakan pasukan teknikal ke lokasi terlibat, sekali gus dapat mengurangkan risiko keselamatan kakitangannya.