SANDAKAN: Pelbagai jenis rokok bernilai RM5,543,100 adalah antara barang kes yang dilupuskan oleh polis Daerah pada pagi Jumaat.
Proses pelupusan barang kes ini disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek pada jam 10 pagi di Kilang Barang Lusuh Astemewa Sdn Bhd Batu 8, Sandakan.
“Pelupusan barang kes ini melibatkan 184,770 bungkus pelbagai jenis rokok yang dianggarkan bernilai RM5,543,100 melibatkan 9 kes kontraban yang disiasat di bawah Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Turut dilupuskan, 504 unit mesin Bitcoin, 12 monitor dan 150 lain-lain peralatan melibatkan kes Bitcoin yang disiasat di bawah Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, kita turut melupuskan tujuh unit enjin bot melibatkan empat kes penyeludupan migran yang disiasat di bawah seksyen 26J Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Abdul Fuad berkata, kesemua barang kes ini dirampas pada 2019 hingga Mei 2024 dan mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya Sabah.
Barang kes dimusnahkan mengunakan jentera berat dan dibakar.
Proses pelupusan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Ramasamy A/L Kuppan, dan Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Sandakan, ASP Yunus Sahak.