SANDAKAN: Seramai 124 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menetap dalam kawasan Batu Sapi menerima Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2023 daripada Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar, disini, pada Ahad.
Ketika ditemui Media sejurus menyempurnakan majlis itu, Khairul berkata, ini merupakan tahun ketiga program itu dilaksanakan yang antara lain memberi dorongan kepada pelajar untuk lebih berjaya selain sedikit sebanyak membantu keluarga khasnya dalam persiapan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
“Kita sedar, melalui pendidikan, anak-anak ini kelak akan mampu membawa keluarga dan masyarakat ke arah pembangunan ekonomi yang terbaik khasnya di kawasan Batu Sapi,” jelasnya.
Khairul juga merakam penghargaan kepada pihak Yayasan Bank Rakyat atas kerjasama yang diberikan dalam sama-sama membangun pendidikan anak-anak dalam kawasan Parlimen Batu Sapi.
Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan yang mewakili pihak YBR, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Munah Nasri dan Pengetua SMK Agama Tun Juhar, Siti Norbayah Samion.
Sementara itu, Munah menyambut baik program berkenaan dan berharap lebih ramai pihak juga tampil memberikan sokongan kepada perkembangan pendidikan anak-anak di kawasan masing-masing agar tidak berlaku keciciran dalam menerima bantuan berkaitan.