KINABATANGAN: Mayat seorang lelaki warga Indonesia berjaya ditemui pada Selasa pagi semasa hari ketiga operasi pencarian dijalankan di sepanjang sungai Ladang Tomanggong, Kinabatangan.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Antonius Permisi, 45, dilaporkan telah terjatuh dari feri mengangkut barang di sungai tersebut pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, PPgB N.Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.22 petang, Ahad.
“Operasi pencarian dilaksanakan dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ dengan menyelusuri sungai di sekitar lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat adalah dengan bantuan sebuah bot orang kampung dan sebuah bot milik Ladang Tomanggong.
“Pada hari ketiga operasi ini, kita berjaya menemui mayat mangsa pada jam 10.30 pagi iaitu kira-kira 100 meter dari mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.