TAWAU: Seramai tujuh mangsa, termasuk enam kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian banjir di Batu 17, Jalan Quion Hill berjaya diselamatkan sepasukan bomba, pada pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa, empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki.
Menurutnya mangsa terlibat dipindahkan ke lokasi selamat oleh pihaknya, sebaik tiba sekitar jam 8.36 pagi di tempat kejadian.
Terdahulu, katanya, sepasukan enam anggota dan sebuah jentera dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi.
“Apabila tiba di lokasi, pasukan mendapati memang benar berlaku kejadian banjir dan terdapat tujuh mangsa terlibat.
“Pasukan kemudiannya mengeluarkan mangsa dan memindahkan mereka ke tempat selamat serta melakukan pemantauan banjir di kawasan itu,”katanya lagi.
Tambahnya, operasi ditamatkan jam 9.25 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di tempat kejadian.
Sementara itu, puluhan kenderaan dilaporkan terjejas apabila tidak dapat melalui simpang Kg Sungai Udin, Jalan Merotai - Kalabakan susulan laluan itu dinaiki banjir, berikutan hujan berterusan sekitar jam 2 pagi, pada Selasa.