KOTA MARUDU: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi sungai bersama anak saudaranya di kawasan Kampung Baru, Marudu Darat, dekat sini petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Hasbi Hajat, berkata orang yang hilang itu dikenali sebagai Razis bin Amat, 35, manakala anak saudaranya yang berumur 17 tahun terselamat dalam kejadian itu.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat diatur gerak menggunakan sebuah bot aluminium bomba dan sebuah bot penduduk kampung menyusuri sungai.