SANDAKAN: Pelindung Kanak-Kanak dari Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Bahagian Sandakan sedang mengesan waris keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang dikenali sebagai Hakime.
Terdahulu, Pelindung Kanak-Kanak Bahagian Sandakan menerima satu kes penderaan kanak-kanak daripada pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Duchess of Kent Sandakan.
Menurut makluman, bapa kandung kanak-kanak ini sedang ditahan oleh polis manakala ahli keluarga lain masih belum dapat dikesan, terutamanya ibu kandung kanak-kanak itu, yang dikenali sebagai Nurul Aziera Rosli.
Hakime kini diletakkan di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu di bawah Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 Pindaan 2016, sementara pihak polis dan Pelindung Bahagian Sandakan menjalankan siasatan untuk mencari waris kanak-kanak ini.
Pelindung memohon jasa baik mana-mana waris ataupun ahli keluarga untuk tampil membantu siasatan.
Untuk sebarang maklumat, waris boleh menghubungi Pelindung Bahagian Sandakan, Harland Jupiri melalui talian 089-667821 (talian pejabat).