Kota Kinabalu: Seorang tukang cat kereta berusia 45 tahun yang membunuh seorang lelaki berumur 25 tahun tiga tahun lalu, dipenjara 34 tahun dan diperintah dikenakan 12 kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr. Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu kepada Jan Esa yang memegang dokumen IMM13, apabila kesnya dibawa untuk penghukuman pada Jumaat.
Jan sebelum ini didapati bersalah membunuh Chung Zi Qian antara jam 1.24 petang dan 5 petang pada 22 Feb, 2022 di kawasan semak berhadapan Tokong Persatuan Taoisme San Ching Kota Kinabalu, di sini.
Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara sehingga 40 tahun, dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah terhadap Jan.
Terdahulu, peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah merayu agar tidak dijatuhi hukuman mati kerana Jan sudah menyesal.
Jan yang diberi peluang untuk melakukan sendiri mitigasinya, berkata dia menyesal atas apa yang berlaku terutama kepada keluarga mangsa.
“Saya tahu ia tidak akan kembali kepada keadaan asal untuk keluarga...saya memohon maaf kepada keluarga atas kesalahan saya. Apa pun yang berlaku, saya tidak berniat atau merancang untuk membunuh mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman mati walaupun hukuman mati mandatori telah dimansuhkan.
Kenyataan impak yang dibacakan Dacia, menyatakan kejadian pembunuhan itu telah menjejaskan keluarga terutama bapa mangsa yang berubah sama sekali.
Selepas kematian mangsa, seisi keluarga itu trauma dan takut ‘pembunuh’ akan datang mencari mereka.
Kenyataan impak itu turut menyatakan ibunya berharap hukuman mati diberikan kepada tertuduh memandangkan keluarga itu kehilangan seorang ahli keluarga akibat perbuatan tertuduh.
Lapan saksi pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.
Selepas menjalani hukuman penjara, Jan diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen.