TAWAU: Seorang pekerja pembersihan yang sarat mengandung lapan bulan dipenjara berjumlah tiga tahun di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana mengemukakan maklumat palsu bagi mendaftarkan dua kad pengenalan menggunakan sijil lahir anak kandungnya pada perkahwinan terdahulu untuk individu lain.
Pada prosiding pendakwaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhailla Selag, tertuduh, Mertina Tibi, 37, mengaku salah bagi dua pertuduhan dihadapinya selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu dipenjara 18 bulan atas kesalahan memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan kali pertama dengan mengemukakan sijil lahir nombor daftar SB276873 atas nama Mohammad Shah Harun di kaunter JPN Cawangan UTC Tawau pada 17 Oktober 2017 jam 2.25 petang.
Wanita itu turut dipenjara 18 bulan bagi pertuduhan kedua yang dihadapinya atas kesalahan sama dengan mengemukakan sijil lahir nombor daftar SB156933 atas nama Sahildarwan pada 17 November 2015 jam 4.28 petang di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kunak.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula tarikh tangkap pada 17 September 2024.
Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Bahagian Kad Pengenalan JPN Putrajaya menerima aduan pada 10 Januari 2023 berkenaan daftar kelahiran atas dua penama tersebut yang sudah dikeluarkan kad pengenalan kepada orang lain (penyamar).
Bapa kandung kepada Mohammad Shah Harun dan Sahitdarwan mengesahkan bahawa pemilik sebenar daftar kelahiran atas dua penama tersebut tidak pernah dikeluarkan kad pengenalan.
Semakan ke atas Borang Permohonan kad pengenalan bernombor 050905-12-0177 atas nama Mohammad Shah Harun Salar Zay dan Kad Pengenalan bernombor 030919-12-0241 atas nama Sahitdarwan Salar Zay, mendapati tertuduh memberikan maklumat palsu sebagai penganjur (penjamin) bagi mendaftarkan kad pengenalan atas nama itu untuk seseorang yang bukan anak kandungnya.
Laporan DNA yang dikeluarkan Jabatan Kimia Malaysia, Negeri Selangor mengesahkan pemilik sebenar daftar kelahiran atas nama Mohammad Harun dan Sahitdarwan merupakan anak kandungnya (tertuduh).
Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Mertina memohon agar tidak dipenjarakan dan hanya dikenakan denda minima memandangkan dia sedang hamil lapan bulan, mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) dan dua anaknya masih lagi bersekolah.
Mohd Naser dalam hujahannya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambilkira kepentingan awam dan kesan serius akibat tindakan tertuduh demi keadilan sosial.
Menurutnya, meskipun tertuduh mengaku salah, namun, kesalahan itu tidak boleh dianggap remeh apatah lagi tindakannya menimbulkan kesan serius terhadap integriti sistem perundangan dan kepercayaan masyarakat.
Malah, katanya, kegagalan menegakkan hukuman setimpal akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan boleh memberi dorongan kepada orang lain untuk terlibat dalam aktiviti sama.