Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen (JIM) Sabah mengingatkan majikan, khususnya dalam sektor pertanian dan perladangan, supaya memberi kerjasama dan komitmen penuh terhadap Program Regularisasi Bersasar atau berdepan akibatnya.
Program itu membolehkan majikan dalam kedua-dua sektor mendaftarkan pekerja asing mereka secara sah sehingga Disember.
Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata program itu dimulakan pada April 2019, menumpu kepada hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dan Filipina yang kebanyakannya bekerja tanpa pas yang sah dalam sektor perladangan dan pertanian Sabah.
Bagaimanapun, katanya, ia ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, kekurangan pasport yang dialami oleh kedutaan dan tiada kerjasama majikan, antara lain.
“Seramai 123,575 orang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah program itu pada 2019, tetapi akibat tertangguh, masih terdapat 26,925 yang belum tampil memohon pas lawatan kerja sementara ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri telah meminta jabatan itu untuk menyambung semula program yang kini dikenali sebagai Program Regularisasi Bersasar seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah dalam mesyuaratnya pada 25 Julai.
Menurutnya, sebagai permulaan, pihak berkuasa negeri akan menyelaraskan pendaftaran 274 warga asing kategori tidak sah daripada tiga syarikat perladangan.
Sh Sitti Saleha berkata, majikan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri mengenai jumlah pekerja yang diperlukan dalam kedua-dua sektor itu sebelum jabatan mengeluarkan pas lawatan kerja sementara.
Beliau berkata, ini kerana JIM Sabah hanya akan memberikan pas kerja sementara berdasarkan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada majikan.
“Kejayaan pelaksanaan program ini juga tertakluk kepada pengeluaran pasport kedutaan pekerja asing tanpa izin, tanpa sebarang halangan,” tambahnya.
Sh Sitti Saleha berkata, apabila pekerja-pekerja ini mendapat pasport daripada kedutaan masing-masing, majikan perlu menyelaraskan permohonan pas lawatan kerja sementara daripada Jabatan Imigresen, dan selepas pas dikeluarkan, mereka dibenarkan secara sah berada di Sabah untuk bekerja di sektor pertanian dan perladangan.
“Mereka (majikan) tidak boleh duduk diam, sebaliknya perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam menguruskan perkara ini,” katanya.
Sh Sitti Saleha berkata jabatan itu akan melaksanakan operasi secara besar-besaran selepas program itu dijalankan, menegaskan pihaknya akan mengambil langkah tegas terhadap mana-mana majikan yang gagal memberi kerjasama.
“Selain mengesahkan pekerja asing tanpa izin, program ini juga bertujuan menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam kedua-dua sektor itu.”