Kota Kinabalu: Lima warga Filipina didakwa memiliki ikan dibom, dan tiga daripada mereka didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan setiap seorang.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ac Cen Korong, 60, Suhaili Ismail, 39, dan Bailing Rolling, 18, selepas mereka mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap mereka.
Bagi dua lagi tertuduh, Lelah Korong, 55, dan Maldigos Rolling, 18, kes mereka ditangguhkan sementara menunggu ketersediaan jurubahasa Bajau.
Kes mereka akan disebut semula pada 21 Okt tahun ini dan sementara menunggu tarikh tersebut, kedua-dua mereka diperintah reman lanjut.
Mereka didapati memiliki beberapa jenis ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan pada 1 tengah hari 6 Sept tahun ini, di dalam bot nelayan di kawasan perairan Pulau Tiga, di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 itu boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, tiga tertuduh meminta hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan berbentuk pencegahan kerana ia kesalahan serius dan berlaku secara meluas di perairan Sabah.
Dia berhujah bahawa kesan aktiviti pengeboman ikan dianggap sebagai bentuk penangkapan ikan yang paling membinasa dan akan menjejaskan habitat serta ekosistem laut.
Mahkamah mendengar bahawa pasukan penguatkuasa Maritim yang menjalankan Ops Sejahtera telah menahan sebuah bot nelayan yang mencurigakan.
Pemeriksaan mendapati terdapat lima orang di atas bot itu dengan ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.
Sampel ikan itu dihantar ke Jabatan Perikanan, yang mengesahkan ia ditangkap menggunakan bahan letupan.
Dalam kes lain, seorang pembantu kedai berusia 29 tahun didakwa atas 14 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM9,727.60.
Ben Arron Shamsul mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, kepada semua pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-14, Ben didakwa melanggar amanah yang diberikan kepadanya sebagai pembantu kedai oleh WH Smith Malaysia, yang mengamanahkannya untuk mengendali semua urusan perniagaan kedai itu.
Pertuduhan menyatakan Ben telah mencetak beberapa E-pay Telco dan mengimbas beberapa barangan untuk kegunaan peribadinya, tetapi tidak menyerahkan harta itu sebagai pendapatan harian kedai itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 15 Feb dan 4 Mac tahun ini di kedai itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Okt untuk pengurusan kes praperbicaraan dan menawarkan ikat jamin RM3,000 kepada Ben dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.
Ben juga diperintah melapor diri di balai polis setiap Jumaat setiap bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Sofia Sawayan hadir untuk pendakwaan manakala Ben tidak diwakili.