TAWAU: Empat sekeluarga terselamat, namun, dua cedera apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah rumah di Kg Beruang, Jalan Haji Matahir, petang Ahad.
Insiden itu berlaku selepas pemandu mengelak dari bertembung dengan kenderaan lain, Perodua Alza.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Rastam Keladi berkata, mangsa cedera adalah seorang wanita, 49, dan seorang kanak-kanak lelaki, enam tahun.
Berdasarkan keterangan saksi, Rastam berkata kedua-dua kenderaan dipercayai hampir bertembung dan masing-masing cuba mengelak lalu merempuh rumah tersebut, yang rosak teruk.
Katanya, sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian pada jarak 32 kilometer (km) selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.02 petang.
“Pasukan yang tiba di lokasi pada jam 5.29 petang segera mengeluarkan mangsa terlibat dan memberikan rawatan awal.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan jam 5.47 petang.