Kota Kinabalu: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak dakwaan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa tindakan Kerajaan Negeri Warisan-Plus menamatkan kontrak syarikat konsesi air yang menguruskan loji rawatan di seluruh negeri, adalah punca krisis air di Sabah.
Beliau berkata pentadbiran Warisan-Plus menamatkan kontrak enam syarikat itu kerana terlalu berat sebelah.
“Kontrak-kontrak ini merupakan sebahagian besar daripada ‘skandal Jabatan Air’ Sabah yang terkenal, yang berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional Sabah, yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman. [Skandal membabitkan RM160 juta itu adalah yang paling teruk di Sabah dan kini merupakan kes rasuah paling lama di negara ini tanpa sesiapa disabitkan kesalahan walaupun perbicaraan bermula lapan tahun lalu].
“Keputusan ini dibuat bukan sahaja untuk menangani terma yang tidak saksama tetapi juga untuk meningkatkan pengurusan air di seluruh negeri.
“Selepas ditamatkan, operasi dan penyelenggaraan loji diserahkan kepada Jabatan Air.
“Enam syarikat itu, yang mula dilantik pada 2013, bertanggungjawab menyelenggara 58 loji rawatan air di bawah kontrak selama 20 tahun. Untuk perkhidmatan mereka, mereka dibayar RM15.5 juta sebulan.
“Penamatan kontrak itu menjimatkan RM12 juta setiap bulan atau RM144 juta setahun oleh kerajaan Sabah. Seramai 1,335 pekerja syarikat-syarikat ini kemudiannya diserap ke dalam Jabatan Air.
“Langkah itu adalah satu usaha penjimatan kos dan walaupun Kerajaan membayar pampasan RM315 juta, ia masih menjimatkan RM685 juta daripada kontrak selama 20 tahun.”
Justeru, Shafie menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak berasas dan cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Shafie berkata kerajaan sekarang harus menumpukan perhatian kepada penyelesaian dan bukannya menyalahkan pihak tertentu.
“Krisis air Sabah adalah isu yang sudah lama berlarutan, berakar umbi dalam salah urus, infrastruktur semakin merosot dan kekurangan pelaburan sewajarnya selama beberapa dekad.”
Beliau berkata, menyalahkan Warisan sepenuhnya adalah percubaan jelas GRS untuk menutup kelemahan dan kegagalan mereka sendiri.
“Perlu diingat bahawa Hajiji adalah sebahagian daripada kerajaan Musa, yang terlibat dalam salah satu siasatan rasuah terbesar Malaysia yang melibatkan Jabatan Air Sabah.
“Menariknya, Pengarah Jabatan Air sekarang, yang dilantik oleh Kerajaan GRS, memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau menerima komisen RM1.6 juta yang dikaitkan dengan skandal tersebut. Saya tidak mengetahui apa-apa kes lain di dunia di mana wang tunai RM3 juta ditemui disembunyikan di dalam peti besi pejabat kerajaan.
“Bagaimanapun, kerajaan GRS mencapai sedikit saja kemajuan dalam menangani isu-isu dalam Jabatan Air, biarpun siasatan SPRM mendedahkan rampasan wang tunai dan aset lebih RM100 juta, seperti yang dilaporkan oleh media.
“Tiada isu air yang ketara di Sabah berikutan penamatan syarikat konsesi pada 2018. Krisis air hanya bermula selepas GRS mengambil alih kerajaan negeri pada hujung 2020.
“Sejak itu, pengguna mengalami masalah seperti air masin di Sandakan, tiada bekalan air di Universiti Malaysia Sabah, syarikat swasta menjual air dan gangguan kerap, semuanya menjejaskan kehidupan harian orang ramai dan perniagaan,” katanya.