Kota Kinabalu: Pemain junior Sabah merangkul dua perak dan satu gangsa untuk negara pada Kejohanan Tenis Lembut Antarabangsa Jelajah Dunia ISTF di Bangkok, Thailand hujung minggu lalu.
Pingat perak hadir menerusi pemain berusia sembilan tahun, Louis Ho, yang tewas dalam perlawanan akhir kategori bawah 12 tahun lelaki 0-4 kepada Pattana Tothom dari Thailand dan Sherbelle Chung dalam kategori bawah 12 tahun perempuan selepas tewas 0-4 kepada seorang lagi pemain Thailand Cheryada Deein di final, manakala gangsa diperoleh Abraham Chung dalam kategori lelaki bawah 12 tahun.
Selain itu, pemain senior Dr.Tribhuvan Narayan Sharma bergandingan dengan Sieng Mao dari Kemboja dan KK Chin bersama Mike Enriquez dari Filipina sebagai gandingannya turut beraksi cemerlang dalam kategori 40 ke atas dengan memenangi pingat gangsa.
Sementara itu, Louis Ho turut mengambil bahagian dalam kategori bawah 15 tahun dan berjaya mara ke pusingan kedua bersama Jayden Ng.
Pasukan kebangsaan yang diwakili 11 pemain Sabah itu diketuai oleh pengurus pasukan Wee Siau Wei bersama pegawai Shirley Gan Chek Chiun dan Beverly Koh.