Kota Kinabalu: Usaha berterusan bagi memastikan pengurusan kelangsungan hutan disifatkan sebagai usaha penting, khasnya melalui penyelidikan serta jalinan kerjasama pihak berkaitan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Dr Kasim Mansor berkata usaha itu adalah penting dan difokuskan dalam usaha mencapai sasaran pembangunan berterusan untuk melindungi, memulihkan dan mempromosikan sumber alam dalam kepelbagaian ekosistem.
“Di samping itu, ini juga fokus untuk meneruskan usaha pemeliharaan hutan-hutan, mengekang masalah penerokaan hutan yang melampau serta kawasan yang diwarta sebagai kawasan simpan dan kehilangan biodiversiti semula jadi.
“Sebab itu perlunya jalinan kerjasama penyelidik dan pihak bertanggungjawab bagi menggabungkan pengetahuan teori dan ilmu asas bersama aplikasi praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan KTS Plantation Sdn Bhd di sini, pada Selasa.
Menurut Kasim, MoA itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara penyelidik dan kajian di UMS bersama KTS Plantation Sdn Bhd (KTSP), sekali gus menghasilkan lebih banyak kajian bermanfaat untuk sektor perhutanan.
“Sebelum ini kerjasama UMS bersama KTSP pernah dijalin pada November 2015, diikuti lagi dengan MoU pada November 2016 semasa Persidangan Heart of Borneo, bersama Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) juga sekali gus mampu merapatkan jurang perbezaan yang wujud antara satu sama lain,” jelasnya.
Tambah beliau, kolaborasi seumpama itu juga diteruskan dengan MoU pertama antara UMS dan KTSP pada Julai 2018 dengan fokus kepada usaha geran kajian kerjasama bagi Kajian Perhutanan di KTS Plantation Segaliud, Lokan: Kewujudan Mineralogi, Pelancongan Alam Sekitar, Budaya Sivil dan Morfofonologi Shorea leprosula.
“Ini berlangsung sejak 2016 hingga 2022 dan pencapaian ini turut membawa kepada penglibatan pelajar prasiswazah kita dalam Kem Perhutanan di hutan simpan Segaliud Lokan, Sandakan.
“Hasilnya, kita sudah menyempurnakan empat artikel jurnal, enam kertas kerja persidangan, penerbitan buku ringkas, 17 tesis pelajar prasiswazah, empat tesis pelajar pasca siswazah sains dan sebuah disertasi PhD,” katanya.
Kasim memberitahu KTSP juga menyokong usaha persidangan yang dianjurkan oleh UMS pada 2022 dan 2024.
“Banyak penglibatan bersama antara UMS dengan KTSP dalam aktiviti kajian serta penyelidikan, dan antaranya ialah pameran saintifik Kawasan Konservasi Sungai Rawog pada Ogos 2017 dan September 2023.
“Hasil kajian turut dibentangkan dalam seminar pada Februari 2019 dan Februari 2024,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengarah KTSP Ting Jack Hui berkata, usaha murni yang dijalankan dengan kerjasama itu adalah sebuah usaha yang menyantuni alam semula jadi serta langkah inisiatif berkaitan adalah mempunyai potensi besar dalam memacu kemajuan bidang industri perhutanan.
“Kerjasama kita adalah fokus kepada usaha penyelidikan dan kajian serta melibatkan penyelidik dan pengkaji yang berkaliber.
“Kerjasama universiti dan industri perlu diwujudkan secara berterusan kerana kita masing-masing membawa peranan kita dalam usaha untuk membentuk semula landskap sektor perhutanan kita, dalam era penuh mencabar masa kini,” katanya.