SIPITANG: Pasukan Rurum FC (RFC) dari Sipitang muncul juara menumpaskan pasukan Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Long Sebangang A FC dari Lawas dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka sempena Irau Rayeh Lundayeh Sabah (IRLS) 2024 ke -16 pada Jumaat.
Dalam perlawanan akhir RFC menewaskan pasukan PLBS Long Sebangang A FC 1-0. Gol kemenangan RFC dilakarkan di separuh masa kedua.
Selaku johan RFC membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan piala manakala pasukan PLBS Sebangang A FC menerima wang tunai RM1,000 dan piala selaku naib juara.
Borneo Café dan Mendulong FC tempat ketiga bersama untuk masing-masing menerima wang tunai RM800.
Sebanyak 38 pasukan menyertai kejohanan itu diadakan di padang bola sepak Kampung Kaban anjuran Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) dan diadakan selama tiga hari bermula 18 September lalu.
Penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan oleh penyelaras kejohanan Ericson Buing.