PAITAN: Tabung Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut ditubuhkan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib di sini pada Sabtu.
“Hari ini saya mengumumkan penubuhan Tabung Pendidikan Dewan Undangan Negeri Sugut di mana saya melihat dana ini amat penting terutama untuk membantu anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi IPTS.
“Kebanyakan mereka berasal dari kawasan luar bandar yang kurang berkemampuan untuk membayar bayaran permulaan untuk melengkapkan pendaftaran ke institusi berkenaan.
“Apabila saya melihat perkara ini sangat penting, dan kemampuan ibu bapa terhad, maka saya menubuhkan tabung ini untuk membantu anak-anak saya khususnya ahli PGRS di Dun Sugut,” katanya.
Menurut James, tabung yang akan dimulakan pada tahun 2025 ini akan bermula dengan peruntukan RM100,000 yang telah disediakan khas untuk tujuan tersebut.
“Kita sudah pun melantik ahli jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan ini,” katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PGRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut yang diadakan di sini pada Sabtu.
“Hari ini saya merasmikan persidangan parti PGRS Sugut yang dihadiri lebih 800 wakil Bahagian Sugut termasuk Wanita, Pemuda dan Beliawanis
“Harapan saya agar semua Ketua Cawangan memastikan ahli mereka benar-benar ikhlas dan setia kepada perjuangan parti PGRS pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, selaku Presiden parti.
“Kita tidak mahu ramai ahli cawangan tetapi bukan ahli yang berkualiti. Apa yang kita mahu, walaupun sedikit ahli cawangan, tetapi berkualiti, setia dan bertanggungjawab kepada parti,” katanya.
Apabila PRN datang, James berkata, mereka ini benar-benar memenuhi idea rakyat.
“Apa yang kita mahu elakkan ialah keadaan apabila hampir pilihan raya, Ketua Cawangan tidak dapat mengawal ahli mereka.
“Ketua cawangan perlu memastikan semua ahli di bawah cabangnya mengundi Parti Gagasan atau GRS pada PRN akan datang,” jelasnya.