BEAUFORT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan akan berusaha memastikan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi kerusi DUN Lumadan dan DUN Sindumin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata beliau juga yakin DUN Kuala Penyu akan dimenangi oleh GRS nanti.
“Tiada isu berkaitan calon atau parti yang bertanding, apa yang penting ialah GRS kembali memerintah Sabah di bawah tampuk kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, dalam meneruskan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gabungan Rakyat Lumadan, Ahad lalu.
Mesyuarat itu dihadiri lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati.
Sementara itu, Ketua Bahagian Mazlan @ Joehari Manan dalam ucapan penggulungan memperingatkan perwakilan tentang pembohongan, fitnah dan kecaman yang dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan dan pemimpin GRS, khususnya Ketua Menteri.
“Ketua Menteri dicaci dan difitnah tetapi dalam diam-diam pendapatan Sabah meningkat hingga RM6.97 bilion, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Pemberian khas untuk Sabah dinaikkan sehingga RM300 juta pada 2022 dan 2024, dan bakal dinaikkan kepada RM600 juta pada tahun hadapan.
“Peruntukan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya juga bakal ditambah daripada 20 kepada 40 unit setiap DUN,” katanya.
Beliau berkata, 15 pakej Lebuhraya Pan Borneo telah dimulakan, enam loji baharu, empangan hidroeletrik dan projek BESS (yang terbesar di Asia Tenggara) dilancarkan.
Semua itu dan banyak lagi kejayaan dicapai oleh Kerajaan GRS walau baru mentadbir selama empat tahun, kata beliau.
Justeru, beliau menggesa semua perwakilan untuk menguatkan semangat perjuangan mereka, yakin bahawa perjuangan mereka sebagai ahli dalam Gagasan Rakyat Lumadan tidak sia-sia.
Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu Datuk Limus Jury, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Adun Lumadan yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias Omar Sharon dan Ketua Bahagian Parti Star.