SANDAKAN: Semua pemimpin di Sabah harus menjajarkan keutamaan mereka dan menumpu sepenuhnya kepada usaha menyelesaikan isu bekalan air yang dihadapi negeri ini, kata Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.
“Berhenti menggunakan isu air sebagai permainan politik. Jika semua pemimpin kita yang berpengalaman sepakat dan berusaha menangani krisis air sepenuh jiwa raga, saya percaya isu air boleh diselesaikan dalam masa sesingkat mungkin.”
Vivian, yang juga Setiausaha Publisiti DAP Sabah, merupakan sebahagian delegasi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang berada di sini dalam lawatan empat hari ke Sabah, untuk menyiasat masalah air yang seolah-olah tidak berkesudahan di negeri ini.
Hadir sama, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Pengerusi PAC Teresa Kok.
Selain bekalan air, Vivian turut menyatakan kebimbangannya terhadap isu kualiti air.
Justeru, satu dialog antara ahli PAC dan Jawatankuasa Sandakan Water Watch yang diketuai oleh Datuk John Khoo, turut diadakan bagi mengetengahkan kebimbangan Jawatankuasa tersebut.
“Kita kerap mengalami gangguan air, resapan air laut ke dalam muka sauk air hingga mengakibatkan klorida berlebihan dalam air minuman, malah kehabisan diesel untuk penjana yang menguasakan loji rawatan air kita.
“Saya percaya sudah tiba masanya semua agensi dan jabatan kita bekerja secara sinergi demi kesejahteraan rakyat kita,” tambah Vivian.
Vivian menegaskan, walaupun bekalan air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, “Semua wakil rakyat Sabah, sama ada anda Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen, mesti mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebelum cita-cita politik mereka.
“Ia tanggungjawab semua wakil rakyat untuk menyelesaikan isu air ini kerana rakyat tidak boleh terus menderita dalam diam atas masalah air,” kata Vivian.